بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه

Tulisan ini bukanlah sumber pemberita, bukan jua sumber pengkritik, tapi hanya sekadar sedikit informasi yang insyaAllah shahih dan bermanfa'at. 'Ala kulli hal, jika terdapat sebarang kesalahan informasi harap dapat maklum kepada saya. Jazakallah. Kepada Allah jua kita kembali


Moga Allah memberkati segala huruf yang ada dalam blog ini.

Amin~

Labels

analogi (5) artikel (9) cerita (12) dakwah (18) IIUM (3) iklan (9) isu (9) majlis ilmu (6) misc (6) muhasabah (14) puisi (1) ulama (7) video (3)

Friday, February 12, 2010

Minda Haraki Jiwa Sufi

 Siapakah Sultan Muhammad Al Fateh? Apakah kehebatan beliau dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut. Jawapannya, adalah faktor keseimbangan dan ketinggian Spiritual Quotient(SQ) dan Intellectual Quotient(IQ) menjadi hujjah kebanyakan penganalisis sekarang. Atau dengan kata lain, minda haraki jiwa sufi. Benar sekali. Adapun begitu, sejauh manakah kita mengambil iktibar?

Mengenang kembali bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh, (nama yang tidak asing lagi di kalangan pemuda-pemuda, terutamanya golongan-golongan mahasiswa) telah menawan Kota Constantinople, sehinggakan nama Sultan Muhammad Al-Fateh sangat tersohor bukan sahaja dalam kalangan muslimin malahan di seluruh mata dunia yang celik. Memang shahih apa yang disabdakan oleh Muhammad S.A.W :
“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

Peristiwa pertama :
Beliau adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda beliau, Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik beliau yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini beliau telah matang menangani tipu helah musuh. Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Peristiwa kedua :
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan setelah tertawan Kota Constantinople, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali.

Kesimpulan :
Sesiapa sahaja perlu mengambil peranan dalam membina kerohanian diri, dan juga kesungguhan mengharakikan diri kita dalam membuat kajian, dan mempelajari ilmu-ilmu kepimpinan. Tapi malang sekali sesetengah golongan hanya menumpukan dalam pembinaan kerohanian diri dan meninggalkan ilmu lain, adapun golongan yang hanya menumpukan ilmu-ilmu haraki, tetapi ilmu kerohanian sangat lemah. Berikut adalah perkara sebenar yang berlaku dan menjadi punca dalaman ataupun konflik dalaman dalam sesebuah organisasi. Betapa hebatnya syaitan, apabila kita dalam keadaan bersemangat juang yang berkobar-kobar, turun berdemonstrasi menyatakan kebenaran, tidur lewat kerana hendak bermesyuarat tentang perihal gerak kerja, dan lain-lain, pada masa yang sama syaitan telah pengaruh dan menipu kita supaya solat 'subuh gajah' dengan tidak sengaja malah yang lebih teruk sampai perlu qadha' solat subuh. Belum menyentuh lagi perihal amalan-amalan sunat seperti solat berjema'ah dan lain-lain. Termasuklah, tuntutan ilmu fardhu 'ain yang diabaikan semata-mata perjuangan haraki, ilmu kerohanian(tasawwuf) tidak mahu dipelajari, hanya mendengar pengisian haraki daripada golongan kita tetapi tidak tergerak hati ingin menghadiri majlis yang menguatkan rohani kita, kita banyak memperjuangkan kesyumulan islam tapi mana hakikat kita mempelajari syumulnya islam melalui ilmu termasuk ilmu fekah, tasawwuf, haraki dan lain2,
"Syaitan telah menguasai mereka, lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah, mereka itu penyokong syaitan. Ketahuilah, bahawa penyokong syaitan itulah golongan yang rugi". (al-Mujadilah: 19)
Akhir kalan, marilah renungkan kata hikmah daripada salah seorang ulama' berpengaruh, Syeikh Imam Syahid Hassan Al-Banna:
“Sebelum kau ingin membina Negara Islam pada bumi ini, binalah Negara Islam dalam dirimu dahulu.”
 Wallahua'lam

Wednesday, February 10, 2010

Kenal Bid'ah secara ringkas ( Maulidur Rasul bid'ah? )


[Apakah makna bid'ah?]

Makna bid'ah dari segi bahasa iaitu :

“Sesuatu perkara baru yang diciptakan / diadakan dengan tidak ada contoh sebelumnya”


Manakala dari segi Syara’ mengikut pendapat para ulama’. Alim Quraisy, Al-Imam al-Jahil, Imam Syafi’e mengatakan :
“Bid’ah itu dua jenis : Bid’ah yang dipuji dan bid’ah yang dikeji. Apa yang selari dengan Sunnah itu, maka ia dipuji dan apa yang bertentangan dengannya, maka ia dikeji.”[1]

Dalam riwayat lain Imam Syafi’e mengatakan :
“Perkara-perkara baharu yang diada-adakan itu dua jenis : (Pertama), perkara baharu yang bercanggah dengan Al-Qur’an atau Sunnah atau athar Sahabat atau ijma’, maka itulah Bid’ah Dhalalah (sesat). Dan (kedua), perkara baharu yang diadakan dari segala kebaikan yang tidak bertentangan dengan mana-mana daripada empat perkara itu, maka ia adalah bid’ah yang bukan keji.”[2]

[Apakah hujah Imam Syafi’e dalam pembahagian bid’ah tersebut?]

Ia adalah berdasarkan pengamatan beliau terhadap banyak hadith yang berkaitan, antaranya :

1)      “Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) kami ini, sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak.”[3]
2)      “Sesiapa yang mengadakan di dalam islam sunnah yang baik lalu diamalkan orang kemudian sunnahnya itu, diberikan kepadanya pahala sebagaimana pahala orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang mengerjakan itu, dan sesiapa yang mengadakan di dalam Uslam sunnah yang tidak baik lalu diamalkan orang kemudian sunnahnya itu,diberikan kepadanya dosa sebagaimana dosa orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan sedikitpun dari dosa orang yang mengerjakannya itu.”[4]
3)      Hadith dari Abd ar-Rahman bin Abd al-Qari tentang solat Tarawih dimana beliau (Abd ar-Rahman) keluar bersama Umar Al-Khattab pada suatu malam di bulan Ramadhan ke masjid. Mereka berdua mendapati sekumpulan sahabat solat bersendirian dan yang lain berjemaah. Umar mengatakan jika dia mengumpul mereka mengikut seorang qari(imam), maka ia lebih baik. Dia kemudiannya menyuruh mereka mengikut Ubai bin Ka’ab. Pada malam lain yang ketika ramai yang solat di belakang seorang imam. Umar berkata :
“Ini adalah bid’ah yang baik.”[5]

[Siapakah ulama’ lain yang membahagikan bid’ah kepada bid’ah dhalalah dan bid’ah hasanah selain Imam Syafi’e?]

Ramai, antaranya
1)      Imam Ibn Hajar al-Haitami
2)      Qadhi Abu Bakar Ibn al-‘Arabi
3)      Imam al-Baihaqi
4)      Imam al-Ghazzali
5)      Ibn Hazm azh-Zhahiri (456H)
6)      Ibn al-Athir al-Jazari
7)      Imam Abu Nu’aim
8)      Imam al-Izz Ibn Abd as-Salam
9)      Imam Nawawi
10)   Ibn al-Amir ash-Shan’ani
11)   Ibn Hajar al-Asqalani
12)   Al-Ubbi (pensyarah kitab shahih muslim)
13)   Imam Sayuthi
14)   Ibn Rajab al-Hanbali
15)   Ibn Taimiyyah
16)   Ibn al-Jauzi
17)   Asy-Syaukani
18)   Dan ulama’ lain

Para ulama’ telah bersepakat tentang pembahagiaan bid’ah kepada yang terpuji dan tercela. Sayyidina Umar adalah orang pertama yang mengatakan demikian.
Para ulama’ juga telah bersepakat mengatakan hadith : “Setiap bid’ah itu sesat,...” perlu dikhususkan.

[Golongan yang mengatakan bahawa tidak ada istilah bid’ah hasanah, yang ada Cuma bid’ah dhalalah kerana berdalilkan hadith : “Setiap bid’ah itu sesat (dhalalah)”. Bagaimanakah pendapat ulama’ tentang hadith ini?]

“Setiap yang baharu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat (dhalalah), dan setiap yang sesat itu ke neraka.”[6]

Hadith ini haruslah difahami sedalam-dalamnya agar tidak membawa kepada kesilapan dari segi pemahamannya. Ia haruslah difahami melalui beberapa kaedah antaranya kaedah Ushul Fiqh, Ilmu Mantiq, dan Ilmu Balaghah.

A – Ilmu Ushul

Para ulama’ Ushul memahami pengertian teks hadith ini melalui kaedah :
“ ‘Am makhshush ” (Umum yang dikhususkan) atau
“Al-‘Umum bi Ma’na al-Khushush” (Umum dengan (membawa) makna yang khusus)

2 perkara yang dibahaskan oleh ulama’ :
(1)           Apakah makna ‘muhdathah’ (perkara baru) dalam hadith ini mutlak (tanpa ada pengecualian)?

Jawapan : Ia bukanlah bersifat mutlak. Ia adalah hanya perkara baharu dalam masalah agama yang sesat (mazmumah), yang tidak ada dasarnya dalam syara’. Itulah yang dilarang. Adapun perkara baru yang ada dasar dari segi syara’, maka ia dianggap suatu perkara yang terpuji dan baik (hasanah), bahkan ia dianggap sebagai suatu sunnah (ajaran) Khulafa’ ar-Rasyidin dan para imam yang selalu mendapat petunjuk.

(2)           Apakah pengertian ‘kullu’ (semua) juga bersifat mutlak (tanpa ada pengecualian)?

Jawapan : Tidak. Perkataan ‘kullu’, tidak semestinya hanya bermaksud ‘meliputi semua sekali, tanpa pengecualian’. Ia juga boleh bermaksud ‘hampir keseluruhan’ atau ‘kebanyakan’ atau ‘sebahagiannya’.
Banyak contoh dalam al-Quran dan hadith yang menunjukkan perkara ini, antaranya :
-Surah Al-An’am : 44
-Surah Al-Ahqaf : 25
-Surah An-Naml : 23
-Surah Taha : 15
-Surah Al-Anbiya’ : 30
-Surah Al-Kahfi : 79
-dan beberapa ayat dan hadith lain

B – Ilmu Manthiq[7]

Dalam perbahasan ilmu manthiq, ada yang disebut sebagai :

“Shaklun awwalun dharbun thalithun”

Oleh kerana keadaan ‘kullu’ (semua) tadi, boleh menjadi makna ‘ba’dhu’ (sebahagian), maka dalam ilmu Manthiq dikatakan :
“Semua (maknanya sebahagian) bid’ah adalah sesat”   
“Semua yang sesat ke neraka”

Maka ia menjadi :
“Sebahagian bid’ah ke neraka”

C – Ilmu Balaghah[8]

Menurut ilmu balaghah, ‘setiap benda mesti mempunyai sifat’. Sifat itu mungkin jadi dua sifat bertentangan seperti baik dan buruk, panjang dan pendek, gemuk dan kurus.

Adalah mustahil jika ada benda yang dalam satu masa dan satu tempat mempunyai dua sifat yang bertentangan, contohnya : Jika dikatakan benda itu baik, mustahil pada waktu dan tempat yang sama dikatakan buruk. Begitu juga jika dikatakan Si Fulan berdiri, mustahil pada waktu dan tempat yang sama dikatakan Si Fulan duduk.

Berkenaan hadith yang dibicarakan tadi, mengikut ilmu balaghah, dalam hadith ini, bid’ah adalah benda. Setiap benda mesti mempunyai sifat, sama ada sifatnya baik atau sebaliknya (keji). Sifat bid’ah tidak disebutkan. Ia disebut sebagai ‘membuang sifat dari benda yang bersifat’.

Jika ingin ditulis sifat bid’ah, ia membawa kepada dua kemungkinan, “Setiap bid’ah yang baik itu sesat,…” atau “Setiap bid’ah yang keji itu sesat,…”.
Adalah mustahil bagi sifat baik dan sesat berkumpul dalam satu benda dan pada waktu dan tempat yang sama. Jadi kenyataan “Setiap bid’ah yang baik itu sesat,…” adalah tidak diterima.
Adapun “Setiap bid’ah yang keji itu sesat,…” adalah boleh diterima.
Maka inilah makna sebenar hadith di atas.

Bagi menjawab persoalan adakah menyambut maulidur Rasul itu bid'ah?  Adapun jika ianya bid'ah, ianya adalah bid'ah hasanah jikalau cara sambutannya adalah selari dengan syara' seperti yang dikatakan oleh Imam Syafi'e. Boleh jadi menyambut maulidur Rasul menjadi bid'ah dhalalah sekiranya kita menyambutnya dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syara'.

Demikian kata daripada Syeikh 'Ali Jum'ah, mufti mesir :

Mengadakan sambutan-sambutan peringatan Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. adalah daripada seutama-utama amalan dan sebesar-besar qurbah, kerana bahawasanya ia adalah luahan atau ungkapan atau ekspresi atas kegembiraan dan kecintaan kepada baginda s.a.w. Cinta mahabbah kepada Junjungan Nabi s.a.w. adalah satu dasar daripada dasar-dasar keimanan. Dan telah shohih sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang menyatakan :- “Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidaklah beriman seseorang daripada kamu (yakni tidak sempurna iman) sehinggalah jadi aku paling dikasihinya berbanding ayah dan anaknya”. Dan bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:- “Tidak beriman seseorang daripada kamu (yakni tidak sempurna iman) sehinggalah jadi aku yang paling dikasihinya berbanding anaknya, ayahnya dan manusia sekaliannya.”


Wallahua’lam.

Sumber rujukan :
6 Perkara Asas Memahami Persoalan Khilafiyyah
oleh Al-Faqir ilallahil Qadir (Syeikhuna) Ustaz Muhadir bin Haji Joll


[1] Diriwayatkan oleh Abu Na’im (Lihat Fath al-Bari, 17/10).
[2] Riwayat Al-Baihaqi dengan sanad yang shahih di dalam kitabnya Manaqib Syafi’e (Lihat Fath al-Bari, 17/10)
[3] Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
[4] Riwayat Muslim
[5] Riwayat Al-Bukhari
[6] Sanadnya shahih riwayat Abu Daud, At-Tarmizi, Ibn Majah, Ahmad dan Al-Hakim.
[7] Lihat perbahasan ini dalam Ternyata…! NU Tidak Bid’ah, ms 34-35
[8] Lihat penerangan tentang kaedah ini di http://www.nu.or.id/page.php

Monday, February 8, 2010

Jadual Habib Adnan Al-Haddad


1) MASJID AL-FALAH USJ 9

11 Rabiulawal 1431/ 25 Februari 2010 (Khamis)
6.30 petang

2) MASJID AL-BUKHARY, JLN HANG TUAH, KL
(Berhampiran Stesyen Monorel Jalan Hang Tuan, Kuala Lumpur)

12 Rabiulawal 1431/26 Februari 2010 (Jumaat)
Selepas Maghrib
Info : 012-343 8074 (Imam Mohammad)

3) KOMPLEKS AL-JENDERAMI, KG JENDERAM HILIR, DENGKIL.

13 Rabiulawal 1431/27 Februari 2010 (Sabtu)
Maghrib

4) PUSAT PENGAJIAN BAALAWI, NO.9, JALAN UP2A, PRIMA UKAY, KEMESAH

14 Rabiulawal 1421/28 Februari 2010 (Ahad)
Maghrib
Info: 019-669 3887 (Ben Alawi)

5) KG KUALA TEKAL,TEMERLOH, PAHANG

15 Rabiulawal 1421/1 Mac 2010 (Isnin)

Sumber: Blog Masjid al-Falah

Sahabah