Amma ba'd
Adalah menjadi kewajipan bagi kita manusia untuk menuntut ilmu, mahupun ilmu fardhu 'ain atau fardhu kifayah. Bahkan ulama juga telah bersepakat bahawa menuntut ilmu itu sendiri adalah fardhu 'ain. Sehinggakan ayat yang pertama diturunkan kepada baginda ( صلى الله عليه وسلم ) adalah tentang ilmu, iaitu "إقرأ". Sesungguhnya Rasulullah ( صلى الله عليه وسلم ) diutuskan oleh Allah untuk menyebarkan risalah, yakni agama Islam, agama mengenal Allah. Bagaimana mungkin baginda ( صلى الله عليه وسلم ) boleh menyebarkan risalahnya tanpa ilmu dan persiapan? Demikian pentingnya ilmu, terutamanya bagi para pendakwah yang ingin meluaskan ajaran islam, mahupun para pewaris perjuangan nabi kita ( صلى الله عليه وسلم ) untuk menegakkan agama islam dimuka bumi ini. Ilmu adalah sebagai asas seseorang untuk memberi kefahaman, namun jikalau asas itu tidak kuat, dibimbangi kefahaman yang diberikan itu terpesong. Seterusnya kefahaman itu terus disebarkan kepada orang lain dan terus disebar-sebarkan. Akibatnya sangat dahsyat jika orang yang jahil atau tidak berilmu menyebarkan kefahaman mereka yang mereka sangkakan betul. Ini adalah satu fitnah yang sangat hebat. Moga Allah melindungi. Namun ini tidaklah bermakna kurangnya ilmu seseorang itu tidak boleh menyebarkan ilmunya, seperti mana sabda Rasulullah,
"بلّغوا عنى ولو اية"
"Sampaikanlah daripada ku walau satu ayat"
Oleh itu, tidak menjadi kesalahan diri saya yang sangat faqir kepada Allah walaupun diri ini masih lagi orang yang jahil dengan ilmu, ingin berkongsikan apa yang termampu. moga mendapat manfaat dan barakah.
Tidak dapat dinafikan banyak kelebihan orang yang berilmu, mahupun orang yang menuntut ilmu. Banyak yang telah di buktikan dalam al-Quran dan hadith Rasulullah ( صلى الله عليه وسلم ) tentang tersebut. Antaranya darjatnya di sisi Allah diangkatkan, Allah mempermudahkan jalannya ke syurga, malaikat mendoakan keampunan mereka, lebih diutamakan orang 'alim daripada orang yang 'abid. Namun begitu, perlulah kalian ingati bahawa baginda ( صلى الله عليه وسلم ) pernah bersabda,
"من ازداد علما ولم يزدد هدى, لم يزدد من الله إلا بعدا"
"Siapa yang bertambah ilmunya sedangkan hidayahnya (amalannya) tidak bertambah, maka ia hanya bertambah jauh dari rahmat Allah"

“Menuntut ilmu bukan hanya untuk mengisi otak dan fikiran, tetapi juga untuk memperhaluskan perasaan dan menyuburkan kebijaksanaan. Apa yang dicari bukan hanya semata-mata ilmu, tetapi juga manfaat dan keberkatannya. Justeru, jagalah adab-adab ketika menuntut ilmu untuk memperolehinya.”
Adab-adab ketika hendak berilmu itu perlulah dijaga, supaya memperolehi keberkatan ilmu. Namun pada zaman sekarang, sangat ramai orang yang tinggi ilmunya, tetapi mereka tiada adab dengan guru yang mengajarkan mereka. Bagaimana mungkin mereka perolehi keberkatan ilmu tersebut? Menjaga adab sebagai penuntut ilmu adalah sangat penting. Dan antara adab-adab menuntut ilmu secara umum yang digariskan oleh Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al Ghazali adalah :
1. Apabila ia menemui gurunya maka hendaklah ia memberi salam kepadanya terlebih dahulu
2. Jangan membanyakkan bercakap-cakap di hadapan gurunya.
3. Jangan ia bercakap-cakap sebelum gurunya bertanya kepadanya.
4. Jangan ia bertanya kepada gurunya sebelum ia meminta izin.
5. Jangan ia menyangkal (menunjukkan rasa tidak puas hati) terhadap perkataan gurunya seperti berkata si fulan itu menyalahi akan yang engkau kata itu
6. Jangan ia mengisyarat kepada gurunya dengan menyalahi pendapatnya maka ia menyangka bahawa ia lebih mengetahui daripada gurunya.
7. Jangan ia berbisik dengan orang yang duduk di tepinya ketika gurunya memberikan pelajaran.
8. Jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan di hadapan gurunya tetapi hendaklah ia menundukkan kepalanya dengan penuh tenang lagi beradab seolah-olah dia sedang sembahyang.
9. Jangan ia membanyakkan soalan kepada gurunya ketika ia letih.
10. Apabila gurunya berdiri hendaklah ia berdiri untuk menghormatinya.
11. Jangan mengikuti gurunya dengan perkataan atau soalan ketika ia bangkit dari majlisnya.
12. Jangan bertanya kepada gurunya di tengah jalan sehingga ia sampai ke rumahnya atau ke tempat duduknya.
13. Jangan jahat sangka terhadap gurunya apabila ia melihat gurunya mengerjakan sesuatu yang menyalahi ilmunya (bukan menyalahi agama) maka gurunya itu lebih mengetahui rahsia segala perbuatannya dalam hal ini. (boleh rujuk kisah Nabi Musa (عليه السلام) dan Nabi Khidir (عليه السلام) dalam surah al-Kahfi : 17)
tambahan : adab ilmu daripada Majlis Talaqqi di UIAM PJ, boleh dimuat turun
Maka demikianlah pentingnya kita mendapat keberkatan ilmu supaya kita perolehi keredhaan Allah. Jagalah adab-adab menuntut ilmu yang pada zaman sekarang ramai orang yang meninggalkannya... Moga dengan tulisan daripada penulis yang faqir ini, Allah menyebarkan manfaat dan kesedaran kepada orang ramai. Moga mereka beroleh keuntungan dan rahmatMu Ya Allah... Allahua'lam
*Sumber :
1. Bidayatul Hidayah oleh Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al Ghazali r.a.
2. Ushul At-Tauhid oleh Syeikh Husin Nashir Al Mas'udiy Al Banjariy
3. Kalam-kalam guruku
1 comment:
Assalam,
Ana setuju. Kami umat Islam mmg mempunyai kewajipan untuk menuntut ilmu, be it fardhu ain and ilmu fardhu ' kifayah. Dgn ini br kita lebih mampu tuk menegakkan agm Islam jika disoal org lain. Umat Islam digalakkan tuk menntut ilmu spy mnjd lebih bijaksana spy berkebolehan n punyai potensi memajukan Islam dlm zaman pasca modenisasi ini.
WAllahua'lam
Salam fillah,
Liana
Post a Comment